Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    KJ kini jadi DJ?

    Bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar atau KJ, 47, akhirnya menerima lamaran daripada stesen radio, Hot FM.

    Media Prima Audio mengumumkan bekas ahli Parlimen Rembau itu akan mula bertugas pada 15 Februari depan.

    KJ yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia akan mengendalikan segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat.

    Hal ini sekali gus menjawab teka-teki warganet tentangnya. Baru-baru ini, KJ telah dilamar stesen radio popular itu sebagai gandingan baharu bersama Johan, Farah Fauzana dan AG Azmeer.

    Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berkata peluang ini diambil terus oleh Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

    KJ akan mengendalikan segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat. – Agensi

    “KJ bukan sahaja seorang ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau merupakan pempengaruh yang mempunyai impak yang besar buat rakyat Malaysia.

    Kehadiran KJ bukan hanya akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi juga ia merupakan dimensi baharu untuk landskap radio negara.

    “Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan, juga mampu memberikan aura positif kepada pendengar.

    “Pelantikan KJ diharap akan memberikan impak lebih baik kepada Hot FM sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu. Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada KJ kerana sudi menyertai kami sebagai penyampai Bekpes Hot,” katanya.

    Sebelum ini, Hot FM menerusi surat terbuka yang dimuat naik di laman Instagramnya memaklumkan, pihaknya ingin menawarkan KJ itu jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

    Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga ‘meminang’ Khairy Jamaluddin bagi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Tawaran itu dibuat oleh pemilik JDT itu di laman Story Instagram miliknya.

    KJ yang dipecat daripada UMNO pada 27 Januari lalu sebelum menyertai politik pernah menjadi penyampai program bual bicara, Dateline Malaysia. Beliau juga menulis untuk The Economist.

    Dijuluki gelaran tall, dark and handsome, KJ memiliki ijazah sarjana muda Falsafah, Politik, dan Ekonomi dari Universiti Oxford dan sarjana dalam Teori Undang-undang dan Politik dari Kolej Universiti London. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda