Sunday, October 13, 2024
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KJ tunggu masa kembali berpolitik, kerja deejay sementara

    Deejay Hot FM, Khairy Jamaluddin tetap akan kembali ke dunia politik walaupun sudah menang trofi Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36).

    Khairy atau mesra disapa KJ, 48, berkata, industri hiburan hanyalah persinggahan sementara menunggu masa sesuai untuk kembali aktif dalam bidang politik.

    “Dunia baharu ni saya singgah sekejap sahaja, mungkin bila tiba masa sesuai saya akan kembali ke alam semula jadi saya (dunia politik). Tapi bila itu saya tak tahu,” katanya kepada mStar.

    KJ berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media malam kemuncak ABPBH36 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Jumaat.

    Bekas Menteri Kesihatan itu berjaya menewaskan empat calon lain bagi kategori berkenaan iaitu Sharifah Shahira, Tyzo, DJ Sonic dan Haiza. Malah KJ menjadi ahli politik pertama merangkul anugerah di ABPBH.

    Untuk info, KJ bergandingan dengan Fara Fauzana, Johan dan AG sebagai penyampai radio dalam segmen Bekpes Hot pada setiap pagi Isnin. Dalam pada itu, KJ berkata, walaupun ramai mengatakan dia sudah ‘rosak’ selepas bergelar deejay, tetapi tugas di konti menjadi satu pengalaman yang sangat berharga buatnya.

    “Banyak momen lucu di konti, biasalah ramai kata sekarang saya dah ‘rosak’ atau dirosakkan terutama oleh Johan. Tetapi itu akan menjadi satu kenangan indah sebab kalau saya kembali ke dunia politik pengalaman ini menjadi satu perkara yang sangat berharga,” ujarnya.

    Sementara itu, KJ memberitahu mesej yang diucapkan mengenai pintu rezeki itu luas ketika berucap di atas pentas adalah secara umum tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak. Malah KJ menjadikan dirinya contoh walaupun digugurkan daripada parti politik sebelum ini namun Allah SWT sebagai sebaik-baik perancang membuka jalan rezeki buatnya dalam industri hiburan sebagai penyampai radio.

    “Saya cuma nak sampaikan mesej pada orang ramai percaya kepada perancangan Allah. Macam saya alami pintu rezeki ditutup sehingga dikeluarkan daripada parti dan dunia asal saya.

    “Tetapi saya tak salahkan mahupun tuju pada sesiapa seperti saya kata lakukan yang terbaik dan Allah akan berikan selebihnya, Alhamdulillah Allah buka pintu rezeki baru untuk saya,” jelasnya. – Agensi

    KJ gembira selepas berjaya merangkul Penyampai Radio Popular di ABPBH36. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda