Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Bersempena meraikan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Sukarelawan Belia COVID-19 dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan sokongan KKBS telah menganjurkan majlis Malam Berselawat Pada Bulan Mulia secara maya yang dibukakan kepada para petugas barisan hadapan dan orang awam.
Antara objektif majlis adalah untuk memperingati bulan kelahiran Rasulullah SAW, menanamkan rasa kecintaan kepada Baginda, mengimarahkan aktiviti kerohanian dalam kalangan umat Islam dan mengeratkan silaturahim secara maya antara sesama peserta dan jemaah yang hadir.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang telah memimpin bacaan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka acara.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Mawlid Adh-Dhiyaul Lami’ yang telah dipimpin oleh Kumpulan Majlis Mawlid Az-Zahraa, sebuah pertubuhan belia yang aktif mengadakan pelbagai acara selawat untuk menggalakkan budaya berselawat serta menzahirkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
