Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Program Bertadarus Al-Quran bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong kelmarin.
Program Tadarus Al-Quran terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.
Seterusnya, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir serta disusuli dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibaca oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid di masjid berkenaan, Yang Mulia Awang Muhamad Syahmi bin Haji Zaini serta diikuti dengan Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar.
Program berkenaan diteruskan lagi dengan majlis berbuka puasa dan diakhiri dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.
Program tahun ini dikendalikan oleh KKBS dan Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid di masjid tersebut.
Turut hadir dari KKBS adalah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku menjalankan tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan); Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; para pengarah bahagian dan jabatan, pegawai dan kakitangan serta para jemaah masjid tersebut.
