Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Pasukan Bola Sepak Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan A selepas berjaya menewaskan pasukan Bola Sepak Kementerian Kesihatan (MOH) dengan jaringan 4-1 pada kejohanan Piala Keputeraan 2025 di Padang dan Belapan, Kompleks Sukan Berakas, kelmarin.
Kemenangan pasukan KKBS itu mencerahkan lagi laluan mereka ke peringkat suku akhir selepas kejayaan mengutip 6 mata hasil dua kali menang.
Manakala Pasukan MOH yang tewas pada perlawanan pertama turun dengan nafas baharu untuk memberi saingan kepada skuad KKBS namun akur menyaksikan gawang mereka lebih awal bolos seawal minit ke 5 menerusi sentuhan menarik Kamarul Arifin Md. Harif.
Pasukan KKBS yang lebih gemar melakukan serang dari tepi ternyata berkesan apabila Md. Fitrahtul Rahman Ratano berjaya memperdayakan penjaga gol MOH di minit ke 31 sebelum menambah jaringan di minit ke 35 untuk kedudukan 3-0.
Babak kedua kembali menyaksikan pertemuan kedua pasukan semakin menarik dengan pasukan MOH mengubah rentak permainan tetapi pertahanan KKBS lebih kental untuk dileburkan.
Pasukan MCYS terus lega apabila Md. Fahmi Syukri tidak mensia-siakan peluang di depan pintu gol untuk melepaskan rembatan yang menggegarkan gawang MOH di minit ke 52.
Pasukan MOH berjaya memperolehi jaringan di minit 78 menerusi Md. Hazim Hashim namun gol sulung itu tidak mampu menjadi pembangkit semangat skuad itu dan terpaksa akur dengan kekalahan 1-4.
Sementara itu, Pasukan Bola Sepak Kementerian Hal Ehwal Ugama (MORA) turut mencipta kemenangan kedua selepas mengalahkan pasukan Bola Sepak Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT) dengan jaringan 7-3.












