Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS, FABD kenakan tindakan disiplin

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Susulan insiden melibatkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan Brunei Darussalam semasa perlawanan persahabatan FIFA Days di Persekutuan Rusia dari 12 hingga 18 November 2024, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (FABD) telah mengenakan tindakan disiplin tegas terhadap individu yang didapati melanggar peraturan, kod etika dan garis panduan yang ditetapkan.

    Menurut kenyataan bersama KKBS dan FABD, tindakan tersebut adalah hasil daripada siasatan menyeluruh dan konsultasi yang dijalankan secara berasingan oleh KKBS dan FABD.

    Tindakan disiplin yang diambil termasuk penggantungan sementara daripada mewakili pasukan kebangsaan untuk tempoh maksimum dua tahun, khidmat masyarakat mandatori serta penyertaan mandatori dalam Program Khidmat Bakti Negara bagi mengikuti Program Jati Diri yang bersesuaian bagi memperkukuhkan nilai disiplin dan akauntabiliti.

    Walau bagaimanapun, individu yang terlibat masih dibenarkan untuk bermain mewakili kelab dalam perlawanan antarabangsa di dalam negara serta mewakili kelab dalam perlawanan liga kebangsaan.

    KKBS menegaskan semua atlet, pegawai pasukan dan persatuan sukan bertanggungjawab untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi, sama ada di dalam atau di luar negara.

    Gambar Wikipedia

    Mewakili Brunei Darussalam dalam arena sukan adalah satu keistimewaan yang membawa tanggungjawab untuk berkhidmat kepada negara.

    Oleh itu, mereka diharapkan untuk sentiasa menunjukkan profesionalisme, integriti dan tingkah laku yang terpuji.

    KKBS juga menekankan bahawa tanggungjawab sebagai wakil negara bukan sahaja melibatkan kecemerlangan di padang, tetapi juga di luar padang dengan menghormati serta mematuhi disiplin, etika dan nilai-nilai yang mencerminkan identiti Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.

    KKBS sekali lagi menegaskan bahawa sebarang pelanggaran etika dan disiplin akan dikenakan tindakan tegas.

    Semua atlet dan pegawai persatuan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang, dan kod etika yang mengawal selia penyertaan di peringkat kebangsaan, demi memastikan nama baik dan imej Brunei Darussalam sentiasa terpelihara.

    Sebagaimana yang dinyatakan dalam siaran akhbar KKBS bertarikh 8 Oktober dan 18 November 2024, KKBS tetap teguh dalam komitmennya untuk melahirkan atlet yang bertanggungjawab, berdisiplin serta berintegriti, yang bukan sahaja menjadi contoh teladan tetapi turut menyumbang secara positif kepada masyarakat dan komuniti sukan secara keseluruhan.

    FABD tetap komited terhadap standard tertinggi dalam integriti, ketelusan dan profesionalisme bagi semua aspek permainan.

    Oleh itu, FABD mengingatkan semua pemain, jurulatih, pegawai, kelab dan rakan kerjasama tentang tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kod Etika FABD, Kod Etika FIFA dan yang paling penting, undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    Sebarang bentuk salah laku, rasuah, match-fixing, diskriminasi atau tingkah laku tidak beretika tidak akan diterima.

    FABD seterusnya menggesa semua pemain, jurulatih, pegawai, kelab dan rakan kerjasama untuk sentiasa bersikap profesional dan melaporkan sebarang pelanggaran peraturan ini melalui saluran yang betul.

    Kegagalan mematuhi standard etika dan undang-undang ini boleh mengakibatkan tindakan disiplin, termasuk penggantungan, denda atau tindakan undang-undang seperti yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda