BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya, baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Digadong, kementerian berkenaan.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Haji Noor Jusmin bin Haji Abd Samad, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan solat Zohor berjemaah sebelum diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Ahmad Abdul Salam bin Haji Abdul Rahman.

Kemudian, majlis juga diselajurkan dengan khatam Al-Quran bagi pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya yang menamatkan bacaan 30 juzuk di sesi tadarus yang dijalankan di sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat, seterusnya Doa Takhtim dibacakan oleh Tenaga Pengajar Al-Quran, Jabatan Belia dan Sukan, Haji Abdul Halim bin Haji Fuad dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara oleh Haji Ahmad Abdul Salam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis bertujuan untuk mengingati dan menghayati Hari Nuzul Al-Quran dan menanamkan minat membaca dan mengamalkan isi Al-Quran di samping menghayati keagungan dan kebesaran Allah SWT dengan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran seterusnya memberikan kesedaran dan keinsafan bahawa ayat-ayat Al-Quran adalah penawar dan santapan rohani dan penghayatannya melahirkan insan yang indah akhlaknya.