Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan impak kesihatan mental yang terjejas, pementasan teater bertajuk ‘Takdir 3: Pengkhianatan’ diadakan selama dua hari hingga hari ini di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Pementasan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Sutera Memento Event itu dianjurkan sempena sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2022.
Hadir selaku tetamu kehormat pada hari pertama pementasan ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin.
Tajuk teater berkenaan diadaptasi dengan tujuan untuk menyebarkan kesedaran dan pendidikan melalui medium hiburan untuk semua dalam usaha mengekang penularan dan peningkatan gejala sosial yang berkaitan dengan hal ehwal keluarga.
Teater tersebut diharapkan dapat meningkatkan penyertaan dan kemahiran belia dengan menimba pengalaman serta membukakan peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan.
Selain itu, ia juga berperanan untuk membuka minda penonton dalam memahami bagaimana atau sebab terjadinya masalah sosial. Ia bukan hanya sekadar melihat masalah tapi juga untuk cuba membantu mencari jalan penyelesaian.
Pementasan berkenaan merupakan lakonan daripada Su-tera Memento yang mempamerkan drama daripada pelbagai isu kehidupan masyarakat yang berbeza. Ia juga memberi peluang kepada Qasrun Nafis Publishing House sebagai rakan strategik dalam penerbitan buku manuskrip pementasan Sutera Memento, dalam usaha menyebarluaskan seni kreatif dari segi penulisan dan mengadaptasi cerita-cerita tempatan ke layar pentas.



