Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS komited naik taraf fasiliti sukan, rekreasi

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) terus komited memperkukuh kemudahan sukan dan rekreasi di peringkat akar umbi agar dapat diakses secara adil dan inklusif oleh semua lapisan masyarakat, termasuk wanita, warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad ketika menjawab pertanyaan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Musim Kedua, hari ini.

    Menurut beliau, pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan penyertaan menyeluruh masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi sebagai medium pembentukan sahsiah, perpaduan komuniti serta kesejahteraan sosial.

    Antara usaha utama adalah penambahbaikan dan penaiktarafan kemudahan sukan sedia ada di bawah KKBS dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), agar lebih inklusif dan memenuhi piawaian Design and Accessibility Development Guidelines (DADG).

    Ini termasuk penyediaan tanjakan akses OKU dan laluan mesra kerusi roda, zon senaman khusus untuk warga emas, lengkap dengan peralatan berimpak rendah dan ruang mesra keluarga dan kawasan permainan kanak-kanak, bagi menggalakkan penyertaan wanita dan keluarga secara aktif.

    GAMBAR FAIL

    Selain itu, kementerian juga melaksanakan Program Sukan untuk Masyarakat (SUM) seperti sukan mukim dan kampung dengan kerjasama majlis perundingan mukim dan kampung serta NGO, untuk menggalakkan penyertaan akar umbi tanpa mengira umur, jantina atau keupayaan fizikal.

    “Melalui pendekatan bersepadu ini, kita berharap kemudahan sukan dan rekreasi bukan sahaja menyumbang kepada gaya hidup sihat, tetapi juga menjadi pemangkin kepada perpaduan komuniti dan pembangunan daerah yang lebih seimbang dan inklusif,” ujarnya.

    Dalam pada itu, selaras dengan Pelan Tindakan Warga Emas, KKBS turut menekankan penyediaan persekitaran sukan dan rekreasi yang mesra warga emas.

    Pelan ini menyokong penglibatan aktif golongan tersebut dalam aktiviti fizikal ringan seperti senaman, jalan santai dan sukan komuniti bagi mengurangkan kesunyian serta menggalakkan interaksi sosial.

    “Pendekatan menyeluruh ini diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental warga emas, sambil memupuk perpaduan komuniti,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda