Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya turut tidak ketinggalan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj dengan mengadakan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Digadong, KKBS, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis petang tadi itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, KKBS itu turut dihadiri oleh setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh johan qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2016, Awang Sa’dun bin Haji Suhaili.
Majlis kemudian diserikan lagi dengan tazkirah khas bertajuk ‘Iktibar Peristiwa lsrak Miraj dari Sudut Etika Kerja Perkhidmatan Awam’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah islamiah, Haji Fansuri Sharimi@Mansur bin Mohd Ali.
Beliau dalam ceramahnya menyentuh mengenai tiga etika perkhidmatan awam yang ditekankan semasa melakukan pekerjaan iaitu bersih, jujur dan amanah. Ciri-ciri ini dikaitkan dengan sifat-sifat Nabi Muhammad S.A.W semasa berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada 44 orang mantan pegawai dan kakitangan yang terdiri daripada 25 orang penerima perempuan dan 19 orang penerima lelaki sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas khidmat bakti yang telah mereka sumbangkan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, khususnya bagi KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

