Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS meriahkan Ilal Hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya tidak ketinggalan menyemarakkan Ilal Hijrah 1445 dengan mengadakan majlis sambutan di Dewan Digadong, KKBS, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis berkata, majlis berkenaan merupakan acara keagamaan tahunan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dengan tujuan untuk mendapatkan ganjaran pahala berlipat ganda dari Allah SWT serta mengingati mengenai hijrah Rasulullah SAW.

    Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Agama Dipelihara Negara Sejahtera’ yang telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa.

    Di samping itu, majlis berkenaan juga diisikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, Surah Ali ‘Imran ayat 85 hingga 90, oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid yang merupakan johan qari Pertandingan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1444/2023 dan sari tilawah disampaikan oleh Pegawai Perpustakaan, Jabatan Muzium-muzium, Awang Muhammad Amirul Izzuddin bin Awang Samhiri.

    Dalam pada itu, majlis juga meraikan kepulangan 10 orang jemaah haji yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan laungan Dikir Marhaban dan Doa Selamat oleh Kumpulan Firqah Al-Falaah.

    Turut hadir pada majlis penuh berkah tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi, Pengiran Haji Rosli, Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Abdul Qawiyyel Azeez memperdengarkan bacaannya semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Antara tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda