Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memandang serius kepada video tular dalam media sosial mengenai insiden melibatkan beberapa orang ahli pasukan bola sepak kebangsaan semasa berada di Persekutuan Rusia untuk menyertai perlawanan persahabatan FIFA Days dari 12 hingga 18 November.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS, hari ini, menyatakan pihak kementerian memandang serius perkara itu kerana ia mencemarkan imej negara, reputasi dan integriti atlet kebangsaan yang mewakili Negara Brunei Darussalam di peringkat antarabangsa.
KKBS menegaskan bahawa tanggungjawab mewakili negara bukan sahaja melibatkan prestasi di gelanggang permainan tetapi juga tingkah laku di luar gelanggang permainan, yang perlu menghormati dan mematuhi disiplin, etika dan nilai-nilai yang mencerminkan identiti Brunei sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.
Seperti yang dinyatakan di Siaran Akhbar KKBS pada 8 Oktober lalu, pihak kementerian kekal komited untuk menegakkan standard akauntabiliti serta integriti yang tinggi dan seterusnya mengingatkan semua pegawai persatuan dan atlet sukan untuk sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang dan kod etika, terutamanya ketika mewakili negara serta menjaga imej dan nama baik Brunei.
Setiap ahli rombongan, sama ada pemain atau pegawai, diwajibkan menjaga imej negara dengan mematuhi nilai-nilai disiplin, tanggungjawab, etika, dan tingkah laku yang baik, baik di dalam mahupun di luar gelanggang permainan.
Sebarang pelanggaran kod etika atau kegagalan mematuhi disiplin tidak boleh diterima dan akan diambil tindakan sewajarnya.
Siasatan penuh akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan dan seterusnya melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang.