Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, petang tadi.
Rombongan diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin.
Program tersebut diselenggarakan oleh KKBS dan Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir serta disusuli dengan bacaan Doa Menghindari Wabak COVID-19 dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar.
Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan wakaf dan diakhiri dengan sembahyang fardu Asar berjemaah.
Majlis juga disertai oleh pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya dan para jemaah Kampung Perpindahan Mata-Mata.
Sementara itu, rombongan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) yang terdiri daripada Bahagian Penapisan dan Pameran, Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dan Unit Dakwah Daerah Tutong semalam juga telah mengadakan kunjungan dan Tadarus Al-Quran di Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan.
Antara tujuan majlis tersebut adalah bagi menggalakkan para mualaf untuk sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos da’wah dan juga rumah kegiatan agama di kawasan masing-masing bagi sama-sama menghayati bulan Ramadan dengan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran dan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah.
Hadir selaku ketua rombongan bagi menyempurnakan penyerahan Al-Quran serta buku-buku terbitan PDI ialah Pemangku Pegawai Ugama Kanan PDI, Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Long Mayan / Kampung Bukit, Daerah Tutong, Muhammad Eddy Suffian bin Abdullah Zaman.




