Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS perkenal penambahbaikan SKN secara holistik

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan bantuan kebajikan yang disalurkan kepada golongan memerlukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) terus melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan terhadap Sistem Kebajikan Negara (SKN).

    Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, ketika menjawab soalan Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, SKN direka bentuk untuk mengumpul dan mengemas kini maklumat pemohon serta penerima bantuan secara sistematik, sekali gus memastikan setiap bantuan benar-benar memberi impak positif dan mampu memutuskan kitaran kemiskinan.

    “Melalui sistem ini, status dan rekod setiap penerima dapat dipantau dengan lebih cekap, di samping mengurangkan risiko duplikasi permohonan bantuan,” jelas beliau.

    Proses penilaian kelayakan pemohon juga dibuat secara teliti dan menyeluruh, termasuk semakan dokumen sokongan dan lawatan penilaian ke rumah oleh pegawai pembangunan masyarakat, bagi menjamin hanya individu yang benar-benar layak menerima bantuan.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty semasa menghadiri Persidangan MMN. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa langkah tersebut turut bertujuan untuk mengelakkan sebarang ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana kerajaan.

    Dalam usaha memperkukuh lagi ketelusan, KKBS dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) sedang memperkenalkan pengesahan maklumat melalui ketua kampung yang dilihat sebagai pihak yang lebih mengenali keadaan sebenar anak buah masing-masing dan boleh membantu menyelaraskan maklumat dengan agensi pemberi bantuan.

    Di samping itu, KKBS turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) bagi melaksanakan Transformasi Sistem Kerja yang menyokong usaha penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan kebajikan.

    Dalam memastikan keberkesanan sistem secara holistik, Yang Berhormat Menteri turut menjelaskan bahawa pegawai yang mengendalikan SKN akan terus diberi latihan berstruktur yang merangkumi aspek dasar kebajikan, penguasaan sistem digital, serta kecekapan dalam membuat penilaian secara adil dan objektif.

    Tambah beliau, KKBS juga memberi tumpuan kepada pembangunan kendiri penerima bantuan dengan melibatkan mereka dalam program latihan kemahiran, keusahawanan dan peluang pekerjaan.

    “Ia adalah sebagai pemangkin kepada pembangunan diri dan demi memastikan sistem kebajikan negara kekal lestari dalam menangani cabaran kemiskinan secara menyeluruh,” jelasnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda