Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS semarak Maulud Nabi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi 1447 Hijrah/2025 Masihi, bertempat di Dewan Digadong, KKBS, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Guru Ugama Tingkat II, Pusat Pembangunan Belia, Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Haji Masfourteen bin Haji Mohd Yusof.

    Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk Rasulullah Suri Teladan Kitani yang disampaikan oleh Penolong Raes III, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Universiti

    Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.

    Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi semasa menyampaikan ceramah pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Pengiran Haji Mohd Hasnan semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    GAMBAR SERAHAN KKBS

    Ceramah tersebut mengupas peranan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah serta bagaimana akhlak Baginda dapat menjadi panduan dalam menghadapi cabaran keluarga masa kini seperti tekanan ekonomi, pengaruh media sosial dan gejala sosial remaja.

    Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban, Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar secara beramai-ramai.

    Turut hadir, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua bahagian dan jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KKBS, ahli-ahli persatuan belia, ahli-ahli persatuan sukan, ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas dan Pertubuhan Warga Emas.

    Majlis tersebut merupakan antara program tahunan keagamaan anjuran KKBS yang bertujuan memeriahkan lagi Sambutan Maulud Nabi, di samping mengingati jasa dan pengorbanan Baginda dalam menyebarkan syiar Islam serta menyemai rasa kasih dan cinta terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda