PUTRAJAYA, 22 JUN – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menghentikan penggunaan ubat anti-malaria, ‘hydroxychloroquine’ bagi merawat pesakit COVID-19 berikutan statistik yang direkodkan menunjukkan ubat itu tidak berkesan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ubat tersebut digunakan sejak daripada awal rawatan COVID-19 lagi sebagai kategori ‘off label’, iaitu tiada kajian saintifik yang menunjukkan ubat berkenaan boleh digunakan untuk merawat penyakit berjangkit itu.
“Kita menggunakan ubat ini dengan ‘off label’ iaitu tidak ada indikasi untuk penyakit atau pesakit COVID-19. Tetapi kita masih menggunakannya kerana ia ada antiradang atau antiinflamasi. Pada peringkat permulaan kita rasakan ia boleh ada kesan iaitu antiinflamasi.
“Tetapi apabila kita kumpulkan data, lebih 500 kes tiada kesan positif atau statistik tidak menunjukkan keberkesanan ubat tersebut. Bila tiada keberkesanan, kita dah hentikan ubat tersebut untuk penggunaan kita,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. – Bernama