Sunday, November 24, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKM laksana pelbagai strategi, inisiatif rapat jurang nisbah doktor

    KUALA LUMPUR, 7 NOV – Keutamaan kepada pegawai perubatan anak kelahiran Sabah untuk berkhidmat di negeri itu, antara strategi dan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merapatkan jurang nisbah doktor khususnya di Sabah. 

    Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata pihaknya juga menempatkan lebih ramai pegawai perubatan, pegawai perubatan yang menamatkan pengajian kepakaran dan pakar perubatan tetap dan kontrak di negeri itu.

    “Kita juga akan melaksanakan pendekatan lebih inovatif iaitu menggabungkan perkhidmatan kepakaran dalam lingkungan fasiliti tertentu menerusi konsep hospital kluster dan melaksanakan konsep visiting specialist bagi pakar perubatan menyampaikan perkhidmatan kepakaran kepada penduduk di luar bandar.

    “KKM juga akan meneruskan pelbagai insentif untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, antaranya kemudahan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Tambang Ziarah Wilayah serta Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya. 

    Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), mengenai strategi yang dirangka dan jangka masa yang ditetapkan bagi merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah yang ketika ini satu doktor kepada 900 penduduk, berbanding peringkat kebangsaan satu doktor kepada 412 penduduk pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Menjawab soalan Isnaraissah Munirah mengenai sasaran nisbah katil bagi Sabah, Lukanisman berkata nisbah katil bagi setiap 1,000 penduduk di Sabah meningkat daripada 1.52 kepada 1.77 dengan sasaran tambahan 1,941 katil di hospital kerajaan yang bakal siap menjelang 2030.

    “Untuk unjuran Bed-to-Total Population Ratio (BPR) pengiraan turut melibatkan katil kerajaan bukan KKM dan hospital swasta yang melibatkan 40 katil di hospital Kementerian Pertahanan dan katil di bawah projek Hospital Universiti Malaysia Sabah yang dijangka siap menjelang 2026.” – Bernama

    Dato Lukanisman Awang Sauni pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda