KUALA LUMPUR, 18 APRIL – Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan wabak Legionnaires yang dilaporkan semakin menular di Sydney, Australia ketika ini.
Beliau berkata bagaimanapun, setakat ini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) belum mendapat sebarang maklumat mengenai penularan jangkitan itu di negara berkenaan.
“KKM melaksanakan pemantauan (berhubung jangkitan Legionnaires) dan sebaik sahaja kami mendapat maklumat daripada CPRC, KKM akan mengeluarkan kenyataan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2025 hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Jabatan Kesihatan negeri New South Wales (NSW) memaklumkan terdapat seorang maut manakala 12 lagi dijangkiti Legionnaires.
NSW Health turut menggesa sesiapa yang berada di pusat bandar Sydney dan kawasan di sekitarnya pada akhir Mac atau awal April supaya berwaspada terhadap gejala penyakit Legionnaires seperti demam, menggigil, batuk dan sesak nafas.
Penyakit Legionnaires merupakan sejenis radang paru-paru yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Legionella, yang secara semula jadi wujud dalam air tawar dan gejala penyakit boleh muncul hingga 10 hari selepas terdedah kepada bakteria itu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian akibat penyakit Legionnaires boleh mencecah hingga 80 peratus dalam kalangan pesakit yang tidak dirawat dan mempunyai sistem imun yang lemah. – Bernama
