Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKM sedia hantar pasukan perubatan

    PUTRAJAYA, 13 NOV – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia dan telah mengenal pasti pasukan perubatan bantuan yang boleh digerakkan ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja kebenaran diberikan.

    KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penghantaran pasukan berkenaan masih belum dibenarkan kerana mengambil kira keadaan semasa peperangan yang berlaku di kawasan itu.

    Menurut kenyataan itu penghantaran pasukan itu akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan agensi awam lain serta koordinasi oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

    “Pasukan perubatan itu akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian kerana mereka dijangka terlibat dalam merawat mangsa peperangan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, menurut KKM penghantaran alat guna habis consumables dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan kali ketiga akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.

    Penghantaran bantuan kemudahan perubatan pertama dari Malaysia telah dilaksanakan pada 3 November lepas, manakala penerbangan kedua dibuat pada 11 November, masing-masing sebanyak 20 tan.

    Menurut KKM penyediaan bantuan kemudahan perubatan untuk dihantar ke Palestin itu dibuat menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan KLN. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda