SIBU, 16 JAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menyelesaikan masalah pemeluwapan yang menyebabkan siling beberapa wad di Hospital Sibu mengalami kerosakan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Pengarah Hospital Sibu, Dr T. Nanthakumar telah mengemukakan cadangan dan permohonan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menyelesaikan masalah itu.
“Kita ambil perhatian dan akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital itu pada hari ini.
Masalah kerosakan siling di beberapa wad hospital berkenaan ditularkan di media sosial pada tahun lepas oleh pihak tertentu yang kurang selesa dengan keadaan di wad-wad terbabit.
Menurut Dr Nanthakumar, kerosakan siling akibat masalah pemeluwapan itu melibatkan tiga wad di hospital itu.
“Pemeluwapan ini berlaku selepas kita naik taraf wad yang di atas menjadi ‘Infectious Disease Unit’ (IDU) semasa COVID-19 melanda. Suhu di IDU itu perlu dikekalkan di antara 17 hingga 18 darjah Celsius dan ini telah menyebabkan pemeluwapan di wad-wad bawah berkenaan,” kata Dr Nanthakumar.
Katanya, pengubahsuaian perlu dilakukan di wad-wad terbabit selain penukaran paip air sejuk hospital itu yang sudah berusia lebih kurang 30 tahun sebagai langkah penyelesaian. – Bernama


