KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur City FC mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan kelab dari India ATK Mohun Bagan 3-1, untuk layak ke final antara zon buat kali pertama saingan Piala AFC malam ini Rabu.
Aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India, itu menyaksikan ATK Mohun Bagan jelas mendominasi babak pertama dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu KL City, namun gagal menjaringkan gol. Bersambung pada babak kedua, kapten pasukan KL City Paulo Josue mengejutkan lawan apabila menjaringkan gol pembukaan dengan rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-60.
Bagaimanapun, jaringan dari jarak dekat oleh Fardin Ali pada minit ke-90 menyamakan kedudukan buat ATK Mohun Bagan. Kegembiraan ATK Mohun Bagan tidak kekal lama apabila tandukan penyerang Fakrul Aiman Sidid, berpunca dari sepakan percuma diambil Josue, meletakkan pasukan bimbingan pengendali dari Croatia, Bojan Hodak itu kembali di depan pada minit kedua masa kecederaan. – Bernama