Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    KLIA berada di kedudukan ke-12

    KUALA LUMPUR, 19 Sept – Indeks Megahab Antarabangsa OAG 2018 meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di tempat ke-12 daripada 20 lapangan terbang paling banyak disambungkan di seluruh dunia, manakala untuk Asia Pasifik di tempat ketiga.

    Indeks berkenaan menempatkan lapangan terbang mengikut nisbah paling tinggi bagi sambungan antarabangsa yang dijadualkan dengan jumlah destinasi yang ditawarkan.

    Ia meletakkan Changi Singapura di tempat kelapan, Soekarno-Hatta Jakarta (ke-10), Hong Kong (ke-13) dan Suvarnabhumi Bangkok di tempat ke-14.

    Dalam bahagian Megahab Tambang Murah Antarabangsa, pembangunan infrastruktur lapangan terbang tambang murah, pengembangan rangkaian laluan dan pertumbuhan kapasiti tempat duduk membolehkan KLIA, Soekarno-Hatta dan Changi Singapura untuk mengekalkan kedudukan tiga teratas di peringkat global.

    Pesawat Malaysia Airlines ketika membuat pendaratan di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Indeks Megahab Antarabangsa OAG 2018 meletakkan KLIA di tempat ke-12 daripada 20 lapangan terbang paling banyak disambungkan di seluruh dunia. – AFP

    Bagaimanapun, tumpuan akan mula beralih ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing, yang dijadual dibuka sebagai lapangan terbang terbesar dunia pada 2019.

    Mayur Patel, Pengarah Jualan Wilayah JAPAC untuk OAG dalam satu kenyataan berkata: “Permintaan yang mantap untuk perjalanan udara antarabangsa kini membuat Asia Pasifik sebagai satu kawasan utama bagi menyambung penerbangan. Penguasaan Asia jelas kelihatan tetapi kami mungkin melihat beberapa pergerakan yang menarik apabila lapangan terbang Beijing yang baharu dibuka nanti.

    Berada di barisan hadapan pasaran pelancongan selama bertahun-tahun, OAG mempunyai rangkaian data pengembaraan udara terbesar di dunia, termasuk pangkalan data jadual paling sahih bagi lebih 980 syarikat penerbangan dan pangkalan data maklumat status penerbangan paling meluas di pasaran, dengan menjejaki 96 peratus penerbangan komersial. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda