Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Klingking Fun’ tawar diskaun sempena PEMILU

    JAKARTA, 16 April – Agensi Ekonomi Kreatif (BEKRAF) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Maklumat (KOMINFO) serta beberapa rakan perniagaan di negara ini mengumumkan diskaun dan promosi dalam usaha mengumpan lebih ramai penduduk untuk keluar mengundi.

    Kempen bersempena Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) dikenali sebagai ‘Klingking Fun’ itu dikatakan akan menawarkan sehingga 50 peratus diskaun untuk produk dan perkhidmatan dari lebih 250 jenama tempatan dan antarabangsa selain peruncit.

    Ketua Bekraf, Triawan Munaf berkata, beliau memperkenalkan inisiatif itu susulan bimbang akan jumlah penduduk yang bakal keluar mengundi pada 17 April esok yang diisytiharkan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo sebagai cuti umum.

    “Saya sedar ramai pekerja yang teruja untuk bercuti hujung minggu ini kerana cuti umum pada 17 April akan disusuli oleh sambutan Good Friday pada 19 April,” kata Triawan.

    “Ramai juga yang mahu menghabiskan masa di rumah atau ke luar bandar sempena cuti panjang itu daripada keluar mengundi,” katanya kepada The Jakarta Post selepas perasmian kempen terbabit semalam.

    Ketua Kominfo, Rudiantara berkata beliau yakin kempen itu akan berkesan dalam mengumpan lebih ramai penduduk ke pusat mengundi.

    Pengundi bakal menikmati diskaun dari beratus-ratus jenama terkenal dan peruncit termasuk pusat beli-belah Sogo, Sushi Tei, Alfamart dan Cinema XXI.

    Beberapa tawaran hanya sah pada hari pengundian, sementara yang lain akan berlangsung sehingga akhir bulan. – Agensi

    Seorang pegawai membuat persediaan untuk pilihan raya umum Indonesia di Jakarta, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda