SIKINOS, GREECE – Di luar sekolah di salah sebuah pulau terkecil didiami di Greece, Sikinos, dua trak besar telah mengharungi pelayaran laut selama lapan jam untuk membawa kepakaran perubatan yang amat diperlukan kepada penduduk di kawasan pedalaman musim sejuk.
Bahagian belakang kenderaan pertama dibuka menjadi tempat pembedahan pergigian dan bilik mamografi.
Di dalam trak kedua, pakar sakit puan obstetrik, Panagiotis Thomopoulos menanti pesakit pertamanya dalam kalangan kurang daripada 200 penduduk sepenuh masa di Sikinos.
“Kami menjalankan semua pemeriksaan ginekologi rutin dan kolposkopi atau ujian smear untuk pemeriksaan kanser serviks,” jelas doktor yang bekerja di hospital Athens.
Diubah menjadi unit pemeriksaan perubatan, trak itu adalah sebahagian daripada kempen yang dibiayai sejak sedekad lalu oleh yayasan Stavros Niarchos, salah satu institusi dermawan paling berkuasa di Greece, untuk membawa penjagaan percuma kepada penduduk pulau dan wilayah terpencil.
Inisiatif itu dijalankan setiap hujung minggu di luar bulan-bulan musim panas.
PERBELANJAAN KESIHATAN, PENGUMPULAN DANA
Greece ialah sebuah negara berpecah-belah yang terdiri daripada beribu-ribu pulau, ada di antaranya hanya mempunyai segelintir penduduk tetap.
Sektor kesihatan negara terjejas teruk semasa krisis hutang yang melanda Greece dari 2010 hingga 2018, dan masih belum pulih sepenuhnya.
Pada 2021, Greece membelanjakan 1,874 euro per kapita (AS$1,948) untuk penjagaan kesihatan, kurang daripada separuh purata Kesatuan Eropah (EU), menurut OECD.
Sebahagian daripada kekurangan besar itu dilindungi oleh sumbangan peribadi seperti inisiatif Niarchos.
Yayasan yang ditubuhkan oleh salah satu keluarga pemilik kapal paling berpengaruh di Greece telah membiayai sepenuhnya projek berkenaan, termasuk reka bentuk, pembinaan dan kelengkapan tiga hospital tercanggih baharu di Komotini, Thessaloniki dan Sparta, serta projek pembesaran dan pengubahsuaian di hospital awam besar di Athens.
Namun terdapat juga inisiatif yang lebih sederhana.
Pada Khamis, Presiden Greece, Katerina Sakellaropoulou mengurniakan pingat kepada Athena Papachristou, seorang petani tua yang tahun lalu menderma sebuah ambulans kepada perkhidmatan respons kecemasan negara itu.
Papachristou, 85, berkata dia memutuskan untuk mengumpul 65,000 euro untuk kenderaan itu kerana ambulans di kawasannya di Messolonghi, barat Greece, asyik rosak.
Keadaan itu lebih meruncing di pulau-pulau Yunani, kebanyakannya hanya mempunyai sambungan hubungan maritim yang buruk dan boleh terputus dari tanah besar oleh cuaca buruk selama beberapa hari.
‘KAMI RASA TIDAK SELAMAT’
Sikinos terletak di tengah-tengah Laut Aegean, lapan jam dari pelabuhan Piraeus, dan sepenuhnya terputus luar grid pelancongan pulau Greece.
Hospital terdekat terletak di pulau Santorini dan Naxos, antara dua dan dua setengah jam perjalanan dengan feri.
“Kami berasa tidak selamat,” beritahu datuk bandar Vassilis Marakis kepada AFP, sambil menambah pulau itu ‘tiada hospital, tiada doktor pakar dan tiada kemudahan perubatan.’
Di kampung utama Hora, kedai minuman ditutup, dan kucing-kucing telah mengambil alih jalan-jalan sempit yang mengelilingi gereja berkubah biru di tengahnya.
Beberapa warga emas tetap berkumpul di sebuah kafe untuk membincangkan bola sepak di bawah pokok Krismas yang berkelip-kelip.
Kecemasan perubatan dikendalikan melalui pengangkutan udara helikopter, tetapi penyakit yang lebih ringan boleh menjadi masalah, terutamanya bagi 17 pelajar sekolah di pulau itu.
“Awda perlu menempuh perjalanan setengah jam dengan bot untuk berjumpa pakar pediatrik di Ios di pulau kejiranan,” kata Paraskevi Karayianni, 41, seorang pekerja taska dengan seorang kanak-kanak berusia empat tahun di rumah.
Selepas tujuh tahun di Sikinos, Karayianni berkata dia telah menyimpan ‘stok barang farmasi di rumah, daripada ubat-ubatan asas kepada antibiotik.’
Untuk perjalanan Sikinos, misi itu terdiri daripada 18 orang termasuk pakar kardiologi, pakar ortopedik dan pakar mata, serta kakitangan sokongan.
‘KAMI MENYELAMATKANNYA’
Kira-kira 60 penduduk tempatan datang untuk ujian baru-baru ini pada bulan Disember, masing-masing menempah dua atau tiga peperiksaan berasingan.
Di dalam bilik darjah yang dindingnya menggambarkan tarikh hebat dalam sejarah Yunani, seorang jururawat mengambil sampel darah.
Di sebalik skrin biru, pakar ortopedik Alexandra Koukoutsi memeriksa lutut Kalliopi yang sakit, seorang wanita berusia 70an.
“Cabaran terbesar bagi kami ialah kami tidak mempunyai sebarang sokongan untuk mendapatkan penjagaan seperti fisioterapi. Kami perlu mencari penyelesaian lain,” kata Koukoutsi sambil menasihati pesakitnya untuk melakukan senaman tertentu.
Menurut OECD, kadar keperluan yang tidak dipenuhi untuk rawatan perubatan di Greece adalah 9 peratus, jauh lebih tinggi daripada purata EU sebanyak 2.4 peratus.
Thomopoulos, pakar sakit puan, menyatakan bahawa terdapat kesukaran lain di pulau terpencil dengan masyarakat yang lebih tradisional.
“Sesetengah wanita tidak pernah berunding dengan pakar sakit puan kerana pantang larang yang mungkin masih berleluasa dalam kalangan penduduk yang lebih tua,” katanya.
Kos pengangkutan untuk rundingan susulan di Athens atau bandar besar lain juga boleh menjadi penghalang.
Tetapi kerja yang mereka lakukan masih tidak ternilai. Dalam misi ke pulau terpencil lain, Thomopoulos berkata dia mendiagnosis kanser ovari dalam pesakit.
“Saya menghantarnya kepada rakan sekerja di Thessaloniki. Dia telah dibedah,” katanya.
“Kami berjaya menyelamatkan nyawanya.” – AFP