Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klinik bergerak sedia perkhidmatan kesihatan di kawasan terpencil

    GAZA – Selama berjam-jam dalam sehari, beberapa klinik perubatan bergerak pergi dari satu kawasan miskin dan terpencil ke kawasan lain untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan kepada penduduk yang memerlukan.

    Perkhidmatan klinik itu menumpukan wilayah timur Semenanjung Gaza, di mana kebanyakan penduduk terdiri daripada golongan miskin dan kekurangan pusat perubatan.

    Bassam Zakout, pengarah projek di Lembaga Bantuan Perubatan Palestin (PMRS) bukan kerajaan, memberitahu Xinhua yayasannya menubuhkan klinik bergerak untuk merawat orang-orang yang memerlukan. PMRS adalah organisasi kesihatan Palestin yang berasaskan komuniti akar umbi. Ditubuhkan pada tahun 1979 oleh sekumpulan doktor dan profesional kesihatan Palestin, ia bertujuan untuk membantu infrastruktur kesihatan yang lumpuh dan tidak mencukupi disebabkan oleh keadaan politik yang tidak stabil di Semenanjung Gaza.

    Pada bulan Mei, ketegangan selama 11 hari antara Israel dan pejuang yang dipimpin oleh Pergerakan Perjuangan Islam (Hamas) di kawasan pesisir menyebabkan lebih daripada 250 rakyat Palestin dan 13 rakyat Israel terbunuh. Konflik ketenteraan menambah penderitaan penduduk kerana mereka tidak dapat keluar dari rumah mereka untuk pergi ke pusat perubatan terdekat bagi mendapatkan bantuan.

    “Yang paling terkesan dengan ketiadaan pusat-pusat kesihatan di kawasan-kawasan adalah kanak-kanak, wanita, terutama yang hamil, dan pesakit dijangkiti koronavirus,” kata Zakout.

    Seorang petugas perubatan memberikan rawatan perubatan percuma kepada seorang wanita di kejiranan al-Shejaiya, Kota Gaza. – Xinhua
    Kelihatan seorang wanita mendapat pemeriksaan dari seorang petugas perubatan. – Xinhua

    Inilah sebab mengapa Zakout dan pasukannya memutuskan untuk memberikan rawatan kepada penduduk di kawasan tersebut secara percuma. Projek tersebut dimulakan pada awal September dan akan dijalankan hingga Februari 2022.

    “Setiap klinik bergerak mempunyai doktor umum, pakar sakit puan, pakar pediatrik, aktivis psikologi, dan pemandu,” kata Alaa Hijazi, seorang doktor yang biasa pergi ke bahagian timur kejiranan al-Shejaiya di Kota Gaza.

    “Kami menyediakan perkhidmatan kesihatan di 24 kawasan di lima wilayah di Semenanjung Gaza,” tambahnya, dan menjelaskan tanggungjawab mereka termasuk membuat pemeriksaan susulan keadaan kesihatan pesakit dan memberikan mereka ubat serta alat bantuan yang diperlukan.

    Khadra Obaid, wanita berusia 62 tahun dari timur Kota Gaza, salah seorang daripada penduduk yang bergantung pada klinik bergerak.

    “Saya menderita darah tinggi, kencing manis, dan penyakit jantung. Setiap bulan, saya memerlukan ubat yang berharga lebih kurang AS$30, tetapi saya tidak mempunyai wang,” kata wanita itu, sambil menambah, “Klinik bergerak seperti itu meringankan beban kewangan saya.”

    Sementara itu, klinik bergerak bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perubatan, tetapi juga mengatur aktiviti yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.

    “Orang-orang di sini, terutama kanak-kanak, menderita tekanan yang berpunca dari kemiskinan dan konflik antara Israel dan rakyat Palestin,” kata Mohyee al-Helou, seorang aktivis rekreasi dalam PMRS, kepada Xinhua.

    “Beberapa orang wanita datang ke sini bersama anak-anak mereka, jadi misi saya adalah mengadakan beberapa pertunjukan yang menyeronokkan untuk anak-anak itu dalam usaha untuk membantu mereka menghilangkan kemurungan mereka,” kata al-Helou.

    Dia menambah konflik berlarutan antara Israel dan Palestin telah memberi kesan negatif terhadap psikologi penduduk Palestin di Gaza, sama ada mereka wanita, kanak-kanak, orang tua, atau termasuk lelaki. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda