Saturday, June 10, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Klinik haiwan bergerak guna bot

    CHIBAYISH, IRAQ – Sebuah bot bermotor kecil yang meredah paya di selatan Iraq adalah serupa dengan yang digunakan oleh pelancong untuk meneroka tanah paya yang luas, tempat yang terkenal seperti syurga.

    Tetapi bot tersebut mempunyai perbezaan; ia digunakan oleh doktor haiwan sebagai ambulans haiwan untuk membawa penjagaan kesihatan kritikal untuk binatang ternakan dan terutamanya kerbau air ke tanah paya, menghadapi ancaman yang semakin meningkat daripada kesan pencemaran yang berleluasa dan perubahan iklim.

    “Ambulans bagi klinik haiwan ini adalah inisiatif pertama dan satu-satunya di kawasan paya di Iraq,” kata doktor haiwan, Karrar Ibrahim Hindi, ketika dia keluar untuk merawat seekor kerbau yang sakit.

    Paya tersebut, terletak di antara sungai Tigris dan Euphrates dan juga dikenali sebagai Paya Mesopotamia, adalah salah satu delta pedalaman terbesar di dunia.

    Sebuah tanah lembap yang hampir tidak terselamat daripada keganasan pemerintahan diktator, Saddam Hussein, yang mengarahkan paya berkenaan dikeringkan pada 1991 sebagai hukuman bagi masyarakat yang melindungi pemberontak dan memburu mereka.

    Karrar Ibrahim Hindi duduk di dalam bot ambulans ketika dia menuju ke lokasi untuk merawat kerbau yang sakit, di paya daerah selatan Iraq di Chibayish di wilayah Dhi Qar. – AFP
    Karrar Ibrahim Hindi semasa memeriksa kerbau yang sakit dalam sebuah rumah inap yang dibina mengikut cara tradisional. – AFP
    Petani melihat bot ambulans tiba bersama doktor haiwan untuk merawat kerbau yang sakit. – AFP
    Petani melihat bot ambulans tiba bersama doktor haiwan untuk merawat kerbau yang sakit. – AFP

    Tetapi selepas Saddam digulingkan, Iraq berjanji untuk memelihara ekosistem dan menyediakan perkhidmatan berfungsi kepada komuniti tanah paya, dan mereka telah ditulis sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2016 untuk kedua-dua biodiversiti dan sejarah purba mereka.

    Hari ini, penduduk di paya mencari rezeki menerusi penternakan kerbau, menangkap ikan dan hasil pelancongan.

    Susu kerbau terkenal di seluruh Iraq kerana kekuatan yang sepatutnya dibe-rikan kepada mereka yang meminumnya, dan petani menggunakannya untuk membuat keju “guemar” berkrim, makanan istimewa yang menggembirakan rakyat Iraq yang disajikan dengan roti untuk sarapan pagi.

    Selepas berunding dengannya, Hindi melompat kembali ke dalam bot sempit, sesuai untuk menavigasi saluran nipis sungai tersebut.

    Dia menuju ke ladang lain, dengan rumah inap yang dibina mengikut cara tradisional daripada buluh yang dipotong dan dijalin.

    Perubahan iklim, air masin

    Dianggarkan terdapat 30,000 ekor kerbau di tanah lembap tersebut, tetapi saiz ternakan berbeza-beza.

    Sesetengah petani mempunyai hanya segelintir haiwan, manakala yang lain mempunyai ratusan ternakan.

    Tetapi apabila kerbau jatuh sakit, para petani sebelum ini bergelut untuk mendapatkan rawatan veterinar yang sewajarnya. Sebelum ini, mereka perlu meneka punca haiwan mereka sakit dan pergi untuk mendapatkan ubat sendiri.

    “Petani tidak boleh mengangkutnya ke bandar, jadi dengan risiko sendiri, mereka membuat diagnosis yang salah,” kata pengarah Pertubuhan Iklim Hijau Iraq, Mukhtar Mohammed Said, yang membiayai projek bot kerbau bersama-sama dengan cawangan Perancis, Vets Without Border (VSF), satu kumpulan bantuan.

    Jadi dengan para petani yang tidak dapat membawa ternakan kerbau mereka ke klinik haiwan, sebaliknya klinik tersebut yang akan melawat menggunakan bot.

    Di rumah penternak kerbau, Sabah Thamer, pasukan doktor haiwan tiba untuk membantu haiwannya.

    “Sesetengah penggembala tidak mempunyai wang dan mereka hanya mempunyai satu atau dua ekor kerbau,” kata Thamer sambil menjelaskan bahawa perkhidmatan doktor haiwan adalah percuma, tetapi bukan ubat yang mungkin diperlukan haiwan tersebut.

    “Mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan untuknya,” tambah Thamer. “Jadi Kerbau itu sakit, keadaan haiwan tersebut menjadi lebih teruk selama dua tiga hari dan ia mati.”

    Hindi, doktor haiwan itu, berpakaian kot putih bersih dan stetoskop melilit lehernya, memegang leher kerbau dengan bersarung tangan, memeriksa nadi dan mengambil suhunya.

    “Perkhidmatan tersebut mengurangkan jarak antara penternak yang tinggal di tengah-tengah paya dan doktor haiwan yang melakukan tugasnya di bandar,” kata Hindi.

    Selain penyakit biasa yang dihadapi kerbau, doktor haiwan membantu para petani menghadapi cabaran berkembar iaitu paras kumbahan yang semakin meningkat yang dibuang ke dalam perairan, dan kesan buruk daripada perubahan iklim dengan kemarau yang semakin meningkat.

    Di negara di mana negeri tersebut tidak mempunyai kapasiti untuk menjamin perkhidmatan asas, 70 peratus sisa industri Iraq dibuang terus ke sungai atau laut, menurut data yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ahli akademik.

    PBB mengklasifikasikan Iraq sebagai negara kelima paling terdedah di dunia kepada perubahan iklim, dan negara yang nama purbanya ialah Mesopotamia (antara sungai, dalam Bahasa Yunani) dilanda kemarau yang semakin kerap dan lebih lama.

    Paras air paya terus menurun, masalah yang semakin teruk dengan pembinaan empangan di negara jiran.

    Dengan itu, kemasinan air semakin meningkat menyebabkan kerbau menjadi lemah.

    “Haiwan itu menderita kerana air yang terlalu masin memihak kepada penyakit,” kata ahli biologi Omar al-Sheikhli, pengarah teknikal Iklim Hijau.

    “Jika ini berterusan, kerbau yang paling kuat pun akan mati.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun semak semula undang-undang

    TOKYO, 9 JUN - Jepun meluluskan undang-undang imigresen yang membenarkan kerajaan menghantar pulang pencari suaka yang gagal, walaupun mendapat tentangan daripada parti pembangkang dan...
    - Advertisment -