NABAWAN, 17 Jan – “Beribu nyawa dapat diselamatkan dengan adanya Klinik Kesihatan Nabawan yang baharu ini,” demikian reaksi Daud Anggau, 54, seorang penduduk Nabawan yang begitu gembira dengan kewujudan bangunan klinik kesihatan serba canggih bernilai RM28.8 juta itu.
Daud menyifatkan klinik itu sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 34,030 penduduk di daerah ini.
“Kami mensyukuri dan akan memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di klinik itu, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Baalon Agoon, 58, berkata, penduduk di daerah ini khususnya yang tinggal di Sepulut, Pagalungan dan Pensiangan tidak perlu lagi ke Keningau untuk mendapatkan pelbagai rawatan kerana segala-galanya ada di klinik baharu itu.
Katanya sebelum ini, mereka berbelanja besar kerana terpaksa ke Hospital Daerah Keningau yang terletak kira-kira 114 kilometer dari kampung mereka untuk mendapatkan rawatan.
“Kewujudan klinik ini menamatkan penderitaan seluruh rakyat di daerah ini, ini adalah sebahagian daripada beribu-ribu bukti bahawa kerajaan benar-benar prihatin terhadap setiap masalah rakyat di daerah pedalaman ini…terima kasih kerajaan,” kata seorang lagi penduduk, Marutin Ansiung.
Klinik baharu itu dibina pada tahun 2010 secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada November 2016. Ia dilengkapi dengan kemudahan 12 buah katil selesa dan dikendalikan oleh 135 kakitangan termasuk 10 doktor.
Pegawai Kesihatan Daerah Nabawan Dr Kevin Isaac Joseph berkata sehingga Disember 2017, seramai 57,283 penduduk mendapat rawatan di klinik itu sejak beroperasi pada Disember 2016.
Menurutnya antara perkhidmatan yang disediakan di klinik itu ialah perkhidmatan pesakit luar, rawatan dan kecemasan, rawatan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit, makmal, farmasi, kaunter saringan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, kesihatan ibu dan kanak-kanak, lawatan rumah – antenatal/warga emas /terlantar.
Katanya klinik kesihatan berkenaan juga menawarkan perkhidmatan kesihatan sekolah, remaja, warga emas, mental dan pemakanan, fisioterapi perubatan, ibu bersalin, klinik berhenti merokok, kesihatan pergigian, X-ray serta Klinik Bergerak Mini/Bas Bergerak 1Malaysia.
“Klinik ini juga menyediakan perkhidmatan pengimejan diagnostik dan klinik pergigian yang sebelum ini tidak ada di klinik lama…ini perkembangan yang sangat baik,” jelas Dr Kevin.
Sementara itu, Pegawai Daerah Nabawan Fredian Gan berkata, bangunan klinik kesihatan itu memberi nafas baharu kepada seluruh rakyat Nabawan selain menjadi mercu tanda daerah itu.
Nabawan mempunyai keluasan 6,089 kilometer persegi atau 608,908 hektar meliputi hutan simpan (486,441.6 hektar) dan dikelilingi oleh sempadan daerah Tawau dan Kinabatangan di sebelah timur, daerah Keningau dan Tenom di sebelah barat serta berkongsi sempadan antarabangsa dengan Kalimantan, Indonesia di sebelah selatan. – Bernama