Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Klinik Khidmat Undang-undang dan Nasihat Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) akan kembali beroperasi bermula esok di pejabat undang-undang Yusof Halim & Partners dari pukul 7 malam hingga 9 malam.
Klinik yang dilancarkan pada 2013 itu mulanya beroperasi setiap minggu iaitu malam hari Rabu, namun disebabkan kekurangan sokongan daripada firma undang-undang tempatan, klinik berkenaan hanya dapat beroperasi setiap berselang minggu sejak awal tahun ini.
Klinik berkenaan terpaksa ditutup dan beroperasi hanya secara ad hoc mulai Mac lalu disebabkan penularan wabak COVID-19. Hanya penduduk Brunei yang mempunyai jumlah pendapatan isi rumah dibahagi dengan bilangan individu dalam rumah tersebut sebanyak $400 atau kurang yang layak dibantu.
MKM melalui klinik berkenaan akan menghubungi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu mereka yang memerlukan mendapatkan elaun yang mungkin mereka layak, dapatkan bantuan perumahan atau mendapatkan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
Keluarga yang layak juga akan ditempatkan sebagai pelanggan MKM di mana mereka akan layak dibantu dalam banyak projek amal yang dijalankan MKM sepanjang tahun.
MKM juga berhubung dengan pelbagai firma undang-undang dalam memberikan nasihat dan khidmat undang-undang percuma dalam kes-kes yang layak.
Klinik berkenaan telah menangani lebih 400 kes kebajikan dan 40 kes undang-undang secara pro bono.
Sebahagian besar kes undang-undang adalah kes syariah dan kes telah dibawa ke mahkamah tertinggi di kedua-dua bidang kuasa syariah dan sivil.