Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam buat kali kedua akan menganjurkan Klinik Nasihat Undang-undang bagi hal ehwal sivil dan jenayah pada 28 Februari ini.
Klinik bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang itu bakal diadakan di Tingkat Bawah, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Batu Satu, Jalan Tutong.
Persatuan berkenaan dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, klinik tersebut merupakan salah satu inisiatifnya yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran kalangan orang awam mengenai hal ehwal undang-undang.
Klinik berkenaan akan memberikan nasihat dan pertolongan kepada orang awam yang mempunyai sumber pendapatan terhad dan tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan nasihat dan pertolongan tersebut.
Sehubungan itu, nasihat undang-undang akan diberikan berdasarkan yang dahulu didahulukan kepada orang awam, yang mana antara syarat untuk melayakkan mereka mendapatkan nasihat adalah, tidak mempunyai peguam yang telah dilantik bagi pihak mereka.
Selain itu, mereka perlu menghadapkan bukti alamat tempat tinggal terkini dan menghadapkan bukti pendapatan atau elaun kurang daripada $750 sebulan, yang mana klinik tersebut akan dikendalikan oleh ahli-ahli persatuan berkenaan.
Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan berikutan penguatkuasaan Perintah Legal Profession (Law Society of Brunei Darussalam) 2003 dan keahlian persatuan tersebut terdiri daripada para peguam bela dan peguam cara di sektor swasta di negara ini.