Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Klinik Nasihat Undang-undang bagi hal ehwal sivil dan jenayah buat kali keenam pada 30 Jun ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan berkenaan hari ini, klinik tersebut akan diadakan di Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Batu Satu, Jalan Tutong bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang.
Klinik ini merupakan salah satu inisiatif persatuan berkenaan yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai hal ehwal undang-undang.
Klinik ini juga mendedahkan khidmat nasihat dan pertolongan kepada mereka yang mempunyai sumber pendapatan yang terhad untuk mendapatkan pertolongan berdasarkan ‘yang dahulu didahulukan’.
Antara syarat kelayakan yang memberi hak kepada orang awam yang ingin meminta khidmat nasihat mereka tidak diwakili oleh mana-mana firma guaman, mengemukakan salinan kad pengenalan, memberikan bukti alamat kediaman dan memberikan bukti pendapatan atau elaun kurang daripada $1,500 sebulan.
Dalam usaha memperbaiki akses orang awam untuk mendapatkan nasihat undang-undang, orang awam yang memenuhi syarat-syarat tersebut bolehlah mengemukakan permohonan dengan mengisi borang yang boleh didapati di laman sesawang persatuan tersebut di www.bruneilawsociety.com.