Klinik nasihat undang-undang percuma hari ini

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam mengumumkan bahawa berikutan pengurangan beberapa sekatan berhubung pandemik COVID-19, klinik nasihat undang-undang percuma berkaitan hal ehwal sivil dan jenayah akan disambung semula, esok.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, ia akan diadakan di tingkat bawah Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Batu Satu dan Daerah Belait pula di Bangunan Mahkamah Majistret, Kuala Belait dari pukul 11 pagi hingga 1 petang dengan mengikuti langkah-langkah penjarakan sosial.

Menerusi klinik-klinik ber-kenaan, persatuan ingin meningkatkan kesedaran awam mengenai hal berkaitan undang-undang dengan memberikan bantuan dari segi nasihat undang-undang secara percuma kepada orang awam yang mempunyai pendapatan rendah.

Nasihat di kedua-dua klinik berkenaan akan diberikan secara yang dahulu didahulukan kepada orang awam.

Untuk layak mendapatkan nasihat percuma berkenaan, mereka hendaklah tidak diwakili oleh sebarang firma undang-undang, mesti membawa salinan kad pengenalan Brunei yang terkini, memberikan bukti alamat kediaman terkini dan menyediakan bukti pendekatan atau elaun kurang daripada $1,500 sebulan.

Klinik berkenaan akan dikendalikan oleh ahli-ahli Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam.