Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah merasmikan Klinik Pakar Pesakit Luar (SOC) baharu yang terletak di Tingkat 2, JPMC.
Perasmian SOC itu telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.
SOC ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan perubatan khusus, yang memfokuskan kepada beberapa kepakaran utama seperti Ortopedik, Dermatologi, Oftalmologi, Endokrinologi, Psikologi dan perkhidmatan pakar lain termasuk konsultasi dengan pakar yang datang dari luar negara.
Pesakit boleh mengharapkan penjagaan khusus yang berkualiti tinggi daripada pakar yang berpengalaman dan berdedikasi, selain komited untuk mencapai hasil kesihatan terbaik bagi setiap individu.
Penubuhan SOC menyediakan ruang khusus untuk pesakit berunding dengan pakar JPMC, di samping meningkatkan keselesaan sambil memperluas skop perkhidmatan khusus yang tersedia untuk pesakit.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh pihak pengurusan atasan dan ketua jabatan JPMC.
Acara berakhir dengan kunjungan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham ke klinik baharu itu.