Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Klinik Nasihat Undang-undang bagi hal ehwal sivil dan jenayah kali kedua pada 31 Mac ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Undang-undang Negara Brunei Darussalam, hari ini, klinik tersebut akan diadakan di Tingkat Bawah, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Batu Satu, Jalan Tutong bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang.
Klinik berkenaan merupakan salah satu inisiatif persatuan berkenaan yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai hal ehwal undang-undang.
Ini adalah dengan memberikan nasihat dan pertolongan kepada orang awam yang mempunyai sumber pendapatan yang terhad dan tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan nasihat dan pertolongan tersebut.
Nasihat undang-undang akan diberikan berdasarkan yang dahulu didahulukan kepada orang-orang awam yang mana klinik berkenaan dikendalikan oleh ahli-ahli persatuan tersebut.
Antara kelayakan untuk mendapatkan nasihat semasa klinik tersebut termasuk hendaklah tidak mempunyai peguam yang telah dilantik bagi pihak mereka, menghadapkan kad pengenalan, selain menghadapkan bukti alamat tempat tinggal terkini dan menghadapkan bukti pendapatan dan elaun kurang daripada $1,500 sebulan.
Dalam usaha memperbaiki akses orang awam untuk mendapatkan nasihat undang-undang, orang awam yang memenuhi syarat-syarat kelayakan tersebut bolehlah menghadapkan permohonan untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada pihak persatuan di bawah naungan Klinik Nasihat Undang-undang dengan mengisi borang yang boleh didapati di laman sesawang persatuan tersebut di www.bruneilawsociety.com.
Permohonan-permohonan tersebut seterusnya akan dipertimbangkan oleh ahli-ahli persatuan.