BERLIN, 8 APRIL – Bekas penyerang Jerman, Jurgen Klinsmann berkata penyerang Bayern Munich, Harry Kane seharusnya dianggap antara calon utama untuk memenangi Ballon d’Or akan datang.
Pemenang Piala Dunia 1990 itu berkata “Kane memang layak berada dalam tiga teratas Ballon d’Or”, anugerah tahunan kepada pemain bola sepak lelaki terbaik dunia, namun menambah bahawa kemaraan ke peringkat akhir Liga Juara-Juara akan menjadi faktor penting buat pemain berusia 31 tahun itu.
Bayern Munich bakal berdepan Inter Milan malam ini dalam perlawanan pertama suku akhir Liga JuaraJjuara di Munich.
“Kalau awda mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir, atau lebih baik jika menang Liga Juara-Juara, ia pasti membantu,” kata Klinsmann kepada AFP dan media lain dalam satu panggilan dari kediamannya di Los Angeles semalam.
Michael Owen merupakan pemain England terakhir memenangi Ballon d’Or, apabila meraih anugerah itu pada tahun 2001.
Klinsmann, yang seperti Kane pernah berpindah dari Tottenham ke Bayern, berkata beliau melihat persamaan antara laluan kerjayanya dan Kane.
“Dia mempunyai situasi di peringkat kelab hampir sama seperti yang saya alami.
Sehinggalah saya meninggalkan Spurs dan menyertai Bayern, saya belum pernah menang sebarang kejuaraan kelab.
“Saya selalu kata, jika Harry meninggalkan Spurs pada waktu yang tepat, dia akan mendapat peluang untuk memenangi trofi bersama pasukan kelabnya.” – AFP
