BARCELONA, 1 Mei – Jurgen Klopp memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada Lionel Messi apabila Liverpool bertemu Barcelona dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi esok.
Messi direhatkan dalam dua perlawanan liga terakhir buat Barca dan kelihatan lebih bersemangat daripada sebelumnya di pentas Eropah, selepas berikrar ‘membawa pulang piala itu ke Camp Nou’ ketika permulaan musim.
“Ia bukan hanya mengenai Messi tetapi sudah tentu ia adalah tentang dia juga,” kata Klopp dalam sidang media.
“Bolehkah kami hanya memberi tumpuan kepada Messi? Kami sepatutnya melakukannya tetapi jika kami memberi tumpuan kepadanya namun ada lagi 10 pemain bertaraf dunia yang juga bakal menjadi penentu perlawanan.
“Messi katakan sebelum permulaan musim, ‘kami mahu membawa pulang piala’. Itu kedengaran seperti ancaman kepada saya. Kini kami melakukannya, kami berada di sini dan apa yang saya boleh katakan adalah kami mahu ke final juga.” Liverpool berharap untuk menyenaraikan trio serangan berbisanya pada perlawanan pertama itu selepas Roberto Firmino dilihat menjalani latihan selepas mengalami kecederaan otot.
“Jika dia 100 peratus bersedia, dia mungkin akan bermain,” kata Klopp. “Dia ada di sini. Esok kami ada sesi lain.”
Messi dijangka akan digandingkan dua lagi bekas pemain Liverpool, dengan Luis Suarez dan Philippe Coutinho dikatakan akan bergandingan di jentera serangan. – AFP