LONDON, 31 Okt – Selepas berdepan kritikan yang semakin menjadi-jadi daripada penyokong, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp perlu memastikan bahawa dia dapat mengatasi cabaran lebih besar pada saingan Liga Juara-Juara, sekali gus menepis keraguan penyokong kelab itu.
Liverpool kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City walaupun melakar kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield, Sabtu lalu, Klopp wajar menarik nafas lega apabila lawan yang akan ditemui selepas ini adalah Maribor dari Slovenia di Anfield awal pagi Khamis ini.
Kepercayaan kepada Klopp semakin menipis selepas kekalahan 1-4 kepada Tottenham dengan pengkritik serta penyokong menganggap Liverpool jauh lebih baik ketika di bawah bimbingan Brendan Rodgers.
Situasi semasa pastinya mencetuskan resah kepada Klopp apabila kemenangan ke atas Huddersfield disambut hambar oleh penyokong di Anfield.
Di sebalik kesukaran dialami ketika ini, Klopp mungkin berdepan kempen lebih baik di Liga Juara-Juara, kejohanan yang sentiasa menyentuh emosi peminat Reds, peluangnya untuk mengubah mood di Anfield. – AFP