Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klopp dilantik Ketua Operasi Red Bull

    BERLIN, 9 OKT – Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kini memegang jawatan baharu sebagai Ketua Operasi Bola Sepak di Red Bull, yang memiliki kelab bola sepak Leipzig, Salzburg dan New York, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut, hari ini.

    “Selepas hampir 25 tahun berada di tepi padang, saya sangat teruja untuk menyertai projek seperti ini,” kata Klopp, yang meninggalkan Liverpool pada akhir musim lalu selepas sembilan tahun memimpin kelab tersebut.

    Klopp, 57, dijadualkan memulakan tugas rasminya pada 1 Januari 2025.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jenama minuman tenaga terkenal dari Austria itu, Klopp tidak akan terlibat dalam urusan harian kelab-kelab tersebut, tetapi akan mengambil peranan strategik yang lebih tinggi.

    “Saya amat teruja,” kata Klopp, sambil menambah bahawa peranannya adalah lebih kepada mentor untuk para jurulatih dan pengurusan kelab-kelab Red Bull.

    Menurut laporan dari Sky Germany, kontrak Klopp juga merangkumi klausa yang membenarkan beliau mengambil alih sebagai pengurus pasukan kebangsaan Jerman sekiranya ditawarkan.

    Semasa tempoh perkhidmatannya di Liverpool, Klopp berjaya menghidupkan semula kelab itu dengan membawa kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara UEFA, menjadikannya antara pengurus bola sepak yang paling berjaya di dunia. – AFP

    Klopp (kanan) semasa dikurniakan Order of Merit Negara Jerman Baden-Wuerttemberg di Stuttgart, Jerman, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda