Klopp pengurus terbaik Liga Perdana Inggeris

LONDON, 25 MEI – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Liga Perdana Persatuan Pengurus Liga (LMA), kelmarin.

The Reds memenangi kedua-dua Piala Liga Inggeris dan Piala FA, menewaskan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti di Wembley pada kedua-dua perlawanan.

Walau bagaimanapun, Liverpool gagal dalam merebut kejuaraan Liga Perdana daripada Manchester City dengan hanya satu mata selepas kedua-dua anak buah Klopp dan pasukan Pep Guardiola memenangi perlawanan masing-masing pada hari terakhir kempen yang mendebarkan Ahad lalu.

Klopp, yang diberi pujian pada majlis makan malam Anugerah LMA di London kelmarin, berkata: “Ia adalah satu penghormatan yang besar dan ia adalah musim yang sangat luar biasa.

Pengurus Jerman itu turut memberi penghormatan kepada pasukan kejurulatihan yang sentiasa membantunya, dan menambah: “Apabila awda memenangi anugerah seperti ini, awda sama ada genius atau mempunyai kakitangan kejurulatihan terbaik di dunia dan saya di sini bersama semua kakitangan kejurulatihan saya. Mereka tahu betapa saya menghargai mereka.”

Klopp juga mendapat Trofi Sir Alex Ferguson, trofi yang dinamakan sempena nama bekas pengurus Manchester United, yang diundi oleh keahlian penuh pengurus di semua divisyen dalam bola sepak senior Inggeris.

Liverpool mungkin terlepas daripada merangkul kesemua empat-empat gelaran disebabkan City, namun mereka kini akan cuba menambah Liga Juara-Juara dalam kutipan trofi yang mengagumkan musim ini apabila mereka bakal menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir Paris pada Sabtu ini. – AFP

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dinobatkan sebagai pengurus terbaik Liga Perdana Inggeris kelmarin. – Xinhua