Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klopp persoalkan sikap Liverpool selepas seri

    LIVERPOOL, 31 OKT – Jurgen Klopp mengkritik cara Liverpool bertindak balas selepas mensia-siakan kelebihan dua gol ketika Brighton meraih keputusan seri 2-2 di Anfield kelmarin.

    Jordan Henderson dan Sadio Mane meletakkan Liverpool 2-0 di hadapan selepas 24 minit bermain tetapi pasukan Graham Potter bangkit melalui jaringan Enock Mwepu dan Leandro Trossard pada separuh masa pertama dan kedua.

    Ia merupakan kali keenam Liverpool gagal memenangi perlawanan di gelanggang sendiri di Liga Perdana Inggeris selepas mendahului dua gol.

    Percubaan Yves Bissouman terkena tiang dan gol lewat Trossard dibatalkan kerana ofsaid ketika Brighton mengancam untuk melakukan kebangkitan.

    “Pada separuh masa kedua, kami tidak cukup bagus. Bahasa badan pemain, saya tidak menyukai kesemuanya,” kata pelatih Jerman itu.

    “Cara terbaik untuk bertahan menentang Brighton adalah dengan menguasai bola dan bermain di ruang di mana mereka terdedah, tetapi kami tidak melakukannya dan itu adalah masalah.”

    Gol Mane dan Mohamed Salah masing-masing dibatalkan kerana bola terkena tangan dan ofsaid ketika Liverpool menguasai perlawanan tetapi gagal untuk menundukkan Brighton pada separuh masa pertama. Pasukan Klopp kekal di tempat kedua tetapi terlepas peluang untuk bersaing dengan pendahulu Chelsea, yang mendahului tiga mata berikutan kemenangan 3-0 mereka di Newcastle dan kekalahan mengejut 2-0 Manchester City kepada Crystal Palace.

    “Rasa seperti kekalahan, bukan sahaja kerana kami mendahului 2-0 dan tidak menang. Ini kerana kami menja-ringkan dua gol tercantik pernah saya lihat sepanjang kami menjaringkan gol, namun dibatalkan,” tambah Klopp.

    Liverpool akan bertemu Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara pada Rabu sebelum menentang pasukan tangga keempat, West Ham dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu depan. – AFP

    Reaksi pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson, meraikan selepas menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan EPL menentang Brighton di stadium Anfield kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda