LIVERPOOL, 25 SEPT – Jurgen Klopp berkata Darwin Nunez telah membuat peningkatan besar dalam musim keduanya di Liverpool selepas jaringan menakjubkan pemain Uruguay itu membantu The Reds meraih kemenangan 3-1 ke atas West Ham, kelmarin.
Selepas penurunan mendadak dari segi standard musim lalu, Liverpool dilihat kembali menyinar dalam minggu-minggu awal musim baharu ini dengan lima kemenangan dan satu seri dalam enam perlawanan pertama Liga Perdana, menyaksikan anak buah Klopp ketinggalan dua mata di belakang Manchester City di puncak liga.
Dua gol Nunez sebagai pemain gantian menewaskan Newcastle bulan lalu memainkan peranan utama dalam kutipan mata itu dan dia menghasilkan satu lagi detik berkualiti dengan gol penentu menentang The Hammers.
Hantaran lambung Alexis Mac Allister memecah pertahanan West Ham dan Nunez menyambutnya dengan rembatan voli bagi gol keempatnya musim ini.
Pemain berusia 24 tahun itu bergelut untuk memenuhi tanda harga 75 juta euro (£65 juta) semasa musim pertamanya di Anfield dan tidak bermula dalam kesebelasan utama pada awal musim ketika Klopp mempunyai pilihan lain di bahagian serangan.
“Langkah besar dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Dia merupakan ancaman. Awda semua melihat gol itu,” kata Klopp.
“Tugas bertahan yang dilakukannya kini, ia mungkin perbezaan utama. Dia sentiasa mahu, tetapi ia kurang tersusun. Sekarang ia kelihatan lebih baik dan kami menemui cara bagaimana kami boleh melakukannya di sekelilingnya.”
Liverpool bangkit daripada ketinggalan dalam empat daripada tujuh perlawanan pembukaan musim ini.
Kali ini mereka mendahului menerusi sepakan penalti Mohamed Salah tetapi terikat sebelum rehat susulan tandukan Jarrod Bowen.
Nunez mengembalikan kelebihan selepas sejam dan Diogo Jota memastikan tiga mata lima minit sebelum tamat. – AFP