Klopp tidak akan bahayakan pemain

LONDON, 21 MEI – Pengurus pasukan Liverpool Jurgen Klopp berkata dia tidak akan meletakkan pemainnya dalam keadaan berisiko atau memaksa mereka untuk kembali beraksi tanpa kemahuan mereka ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali memulakan latihan dalam kumpulan yang kecil kelmarin.

Pasukan Klopp yang hanya memerlukan dua perlawanan untuk menamatkan penantian selama 30 tahun untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila liga tersebut terpaksa digantungkan selama lebih dari dua bulan akibat pandemik koronavirus.

Enam kes positif COVID-19 dikesan dalam pusingan pertama EPL, di mana sebanyak 748 ujian telah dijalankan ke atas pemain dan kakitangan menjelang kembali memulakan latihan penjarakan sosial minggu ini. Klopp menegaskan keutamaannya adalah kesihatan mereka yang terlibat, tetapi dia percaya ia adalah selamat bagi pemain untuk kembali kepada fasa pertama latihan.

“Kami tidak akan meletakkan sesiapa dalam bahaya untuk melakukan apa yang kami mahu. Ya, kami meminati bola sepak. Ya, ia adalah tugas kami, tetapi ia adalah tidak penting berbanding nyawa kita atau nyawa orang lain,” Klopp memberitahu Sky Sports.

“Dalam kes ini, jika anda tidak merasa selamat, anda tidak perlu datang ke mari.”

Bundesliga Jerman telah disambung semula dengan stadium yang tertutup minggu lepas, menjadi liga utama Eropah pertama yang menyambung semula musim mereka.

EPL menyasarkan akan kembali pada 12 Jun telah menimbulkan kebimbangan dengan kerisauan pemain mengenai kebajikan mereka, dari serangan virus dan kecederaan, dengan persiapan yang singkat selepas rehat yang panjang.

Dan Klopp akan mengalu-alukan tarikh kembali untuk bekerja secepat mungkin.

“Tiada seorang pun yang tahu bila kita akan kembali. Lebih cepat mereka memaklumkan kami, itu adalah lebih baik,” tambahnya.- AFP

Jurgen Klopp berkata dia tidak akan meletakkan pemainnya dalam keadaan berisiko atau memaksa mereka untuk kembali beraksi tanpa kemahuan mereka. – AP