LONDON, 30 MEI – Jurgen Klopp menegaskan dia tidak memerlukan rehat daripada pengurusan kerana dia ingin meletakkan Liverpool kembali ke landasan selepas musim yang penuh cabaran.
Skuad kendalian Klopp terlepas kelayakan Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan di luar kelompok empat teratas buat kali pertama dalam semusim penuh di bawah kepimpinannya.
Keputusan seri 4-4 di Southampton pada hari terakhir musim ini melebarkan rekod tanpa kalah Liverpool di liga utama kepada 11 perlawanan, tetapi mereka terpaksa berpuas hati dengan penamat di tempat kelima Liga Perdana.
Klopp merupakan pengurus paling lama berkhidmat di Liga Perdana dan terdapat dakwaan bahawa pengurus Jerman itu mungkin bersedia meninggalkan Liverpool disebabkan keletihan.
Tetapi, ditanya sama ada dia memerlukan rehat daripada bola sepak, Klopp berkata, “Tidak sama sekali. Secara jujur, saya baik-baik saja.
“Jika awda bertanya kepada saya 11 perlawanan yang lalu, ‘adakah awda mahu berehat?’, saya pasti akan memikirkannya, sejujurnya.
“Tetapi saya baik-baik saja, penuh tenaga. Saya memiliki waktu rehat, saya tidak mempunyai latihan dan hal-hal seperti ini.
“Saya akan mencari masa untuk memulihkan tenaga dan kemudian kita bermula semula pada bulan Julai,” tambahnya.
Pencapian Liverpool di tempat kelima adalah yang terendah sejak mereka menduduki tempat kelapan pada 2015-16, musim ketika Klopp menggantikan Brendan Rodgers di Anfield.
Walaupun menghadapi kesulitan, Klopp mengambil hati daripada cara pemainnya bersatu semasa beberapa detik sukar.
“Tidak banyak yang perlu dipelajari dari musim ini tetapi banyak kelab ketika harapan begitu tinggi seperti kami apabila keadaan tidak berjalan dengan baik dengan cepat mula menyalahkan satu sama lain,” katanya. – AFP