LIVERPOOL, 19 OGOS – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata dia tidak akan memandang rendah krisis yang dihadapi oleh Manchester United ketika ini, dan pengendali dari Jerman itu risau The Red Devils akan bangkit apabila kedua-dua pasukan bertemu Isnin ini.
United ketika ini berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun setelah tewas dua perlawanan pembukaan musim ini.
Anak buah Erik ten Hag dibolosi empat gol dalam masa 35 minit semasa kekalahan memalukan 4-0 di Brentford minggu lalu.
Liverpool turut membelasah United musim lalu, di mana mereka menang 5-0 di Old Trafford dan 4-0 di Anfield dalam dua pertemuan.
Walau bagaimanapun, Klopp berkata dia merasa lebih gembira sekiranya United bermain dengan lebih baik dalam perlawanan yang disifatkannya sebagai pertemuan heavyweight.

“Apabila kami mencatat dua kemenangan tahun lalu, saya tahu pada saat itu ia tidak membantu tahun hadapan. Ia sentiasa begitu,” kata Klopp semasa sidang media pra perlawanan hari ini.
“Ia membantu United untuk lebih bermotivasi.
“Saya rasa seluruh dunia akan menyaksikan perlawanan nanti, dan kita akan lihat dua kelab heavyweight bersaing.”
Liverpool turut terdesak untuk mencatat kemenangan sulung musim ini selepas seri dua perlawanan menentang Fulham dan Crystal Palace dan mereka ketinggalan empat mata di belakang pencabar gelaran, Manchester City.
The Reds ketika ini dilanda krisis kecederaan dan akan beraksi tanpa Darwin Nunez di Old Trafford selepas pemain itu dibuang padang semasa penampilan pertama di laman sendiri kerana menanduk pemain pertahanan Palace, Joachim Andersen.
Roberto Firmino, Naby Keita, Jordan Henderson dan Joe Gomez cergas untuk kembali beraksi dalam kesebelasan pertama Klopp, namun Diogo Jota, Thiago Alcantara, Joel Matip, Ibrahima Konate, Curtis Jones dan Alex Oxlade-Chamberlain masih tercedera. – AFP