SOCHI, 28 Jun – Penjaring terbanyak pertandingan Piala Dunia, Miroslav Klose, memberi cabaran kepada barisan penyerang bola sepak Jerman sedia ada untuk mengatasi pencapaiannya.
Jerman dijadualkan bertemu Mexico di separuh akhir Piala Konfederasi dan Klose yang kini tampil selaku penolong pengendali, Joachim Loew, turut berkongsi tips terbaik untuk memanipulasi pertahanan lawan.
Klose, 39, bersara daripada pentas antarabangsa selepas menjulang Jerman di Piala Dunia 2014 termasuk menghasilkan gol ketika membenam Brazil 7-1 di separuh akhir, sekali gus melengkapkan 16 keseluruhan sepanjang pembabitannya di pusingan akhir Piala Dunia.
Keseluruhannya, Klose meledak 71 gol dalam 137 penampilannya dan beraksi dalam empat Piala Dunia. Beliau menyertai senarai kejurulatihan Loew sejak November lalu dan bertindak selaku jurulatih buat penyerang.
Walaupun Loew memiliki Mario Gomez, Thomas Mueller dan Mario Goetze, pasukan itu masih bergelut dengan masalah di posisi penyerang sejak persaraan Klose.

“Kami sering berbincang bersama membabitkan soal perwatakan. Mereka perlu penuhi segala-galanya dalam semua hal kami yang diharapkan.
“Kamu lihat bakat yang mereka ada. Mereka dapat melakukan banyak perkara dalam tempoh yang singkat. Saya fikir ia cukup hebat.” – AFP