JAKARTA, 9 JAN – Pemain hebat Belanda dan Barcelona, Patrick Kluivert, telah dilantik sebagai jurulatih Indonesia, kelmarin, di mana dia ditugaskan untuk membawa negara itu ke Piala Dunia pertama mereka sejak merdeka.
Bekas pemain penyerang berusia 48 tahun itu mewarisi pasukan yang kebanyakannya pemain kelahiran Belanda dan diberi kerakyatan untuk mewakili negara Asia Tenggara itu.
“Lagenda bola sepak Belanda itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun dari 2025 hingga 2027 dengan pilihan lanjutan,” kata persatuan bola sepak Indonesia, PSSI, dalam satu kenyataan.
Kluivert, yang karier pengurusannya tidak sepadan dengan zaman prestasi cemerlangnya, dijadualkan tiba di Indonesia Sabtu ini dan akan diperkenalkan kepada umum pada hari berikutnya.
Bekas pemain Belanda itu telah dikaitkan secara meluas dengan peranan itu selepas Indonesia secara kontroversi memecat Shin Tae-yong dari Korea Selatan, Isnin lalu.
Shin membawa Indonesia, yang berada di kedudukan ke-127 dalam ranking FIFA, ke pusingan ketiga penentu kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.
Indonesia hanya pernah ke Piala Dunia sekali iaitu pada tahun 1938, ketika mereka berada di bawah pemerintahan kolonial Belanda. Negara itu kemudiannya mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.
Mereka teguh memburu 2026, menduduki tempat ketiga dalam kumpulan kelayakan mereka selepas satu kemenangan dan tiga seri dalam enam perlawanan. – AFP
