PUTRAJAYA, 16 NOV – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlakunya satu kluster baharu mpox membabitkan empat sekeluarga, dengan kes indeks merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pesakit mula bergejala pada 20 Oktober lepas dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November.
Susulan pengesanan kes indeks, menurut kenyataan itu tiga ahli keluarga serumah turut mula bergejala bermula 30 Oktober dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 13 November.
“Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah. Semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring dan diarahkan menjalani pengasingan.
“Sehingga kini, hasil siasatan mendapati penularan hanya terhad dalam kalangan ahli keluarga dan situasi kluster adalah terkawal,” menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan setakat minggu epidemiologi ke-46 (ME 46/2025), sebanyak 12 kes mpox telah dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes mpox di Malaysia adalah sebanyak 23 kes sejak kes pertama dikesan pada Julai 2023. Menurut kenyataan itu, daripada keseluruhan kes terbabit, 22 kes adalah jangkitan mpox Clade II, manakala satu kes melibatkan Clade Ib.
Menurut KKM, kesemua kes berjaya dibendung melalui pengesanan awal, pengasingan pesakit dan pemeriksaan kontak rapat serta tiada penularan lanjut dikesan dalam komuniti. – Bernama

