Kluster kru kapal TLDM dikesan libatkan 93 kes

KOTA KINABALU, 22 NOV – Satu kluster baharu COVID-19 dikesan dalam kalangan kru kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sabah membabitkan 93 orang disahkan positif sehingga hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata kluster Lautan Biru Pantai itu, merupakan kluster industri pertahanan melibatkan jangkitan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, dengan kes indeks adalah seorang kru lelaki yang berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 27 Oktober lepas.

“Semasa persinggahan, kes indeks dikesan positif COVID-19 menerusi saringan bergejala di Sandakan, manakala satu kes lagi dikesan di Tawau melalui saringan kendiri dan telah menjalani kuarantin di daerah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Masidi berkata tiga lagi kes positif dikesan setelah kapal tersebut berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, dan saringan bergejala yang dijalankan terhadap 134 kru kapal tersebut mengesan jumlah kumulatif kes kepada 93 orang sehingga hari ini. – Bernama