Kluster penjara tambah jangkitan di Thailand

BANGKOK, 13 MEI – Thailand melaporkan peningkatan mendadak terbesarnya dalam jangkitan koronavirus hari ini, dengan lebih separuh dari dua penjara Bangkok di mana aktivis demokrasi terkenal ditahan.

Negara beraja itu memerangi gelombang ketiga virus yang memaksa kerajaan melaksanakan sekatan ke atas pergerakan, peraturan menggunakan penutup mulut dan hidung dan menutup ruang awam.

Kecemasan mengenai peningkatan jangkitan muncul minggu ini apabila seorang aktivis dalam pergerakan demokrasi Thailand mengumumkan dia diuji positif COVID-19 lima hari selepas dia dibebaskan dengan jaminan dari sebuah penjara Bangkok.

Hari ini, Thailand melaporkan lebih daripada 4,800 jangkitan – jumlah tertinggi sehari pernah dicatatkan – yang termasuklah lebih 2,800 kes dikesan di dalam penjara di ibu negara, menurut Taweesin Visanuyothin, jurucakap bagi jawatankuasa khas COVID-19 Thailand.

Pegawai jabatan penjara Weerakit Harnpariphan mengesahkan bahawa seorang lagi aktivis ditahan di sebuah penjara di Bangkok – Panupong ‘Mike’ Jadnok – juga diuji positif dan dihantar ke hospital penjara.

Ketua pemimpin pelajar itu ditahan atas pelbagai dakwaan fitnah diraja atas peranannya dalam gerakan protes tahun lalu termasuklah seruan reformasi ke atas sistem monarki.

Weerakit mengatakan dua penjara Bangkok telah menguji ‘100 peratus’ banduan mereka namun tidak menjelaskan secara terperinci bila tempoh ujian bermula. –AFP

Gambar dikeluarkan Jabatan Penjara menunjukkan banduan duduk di dalam hospital lapangan ditubuhkan untuk merawat banduan COVID-19 di Bangkok. Thailand digegarkan dengan jumlah jangkitan tinggi koronavirus, sebahagian besarnya berpunca dari dua penjara di ibu negara. – AP