Kluster rumah pekerja lonjakkan kes

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kluster kediaman pekerja terus meningkat di negara ini apabila sebanyak 212 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 12,113 orang.

Terdapat 97 tambahan kes baharu kepada 16 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) mengongsikan statistik terkini jangkitan COVID-19 itu pada sidang media yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa terdapat lima kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 31 kes.

“Kesemua kluster baharu ini adalah merupakan kluster kediaman di mana dua daripadanya iaitu Kluster TSL Construction Staff House dan Kluster Traine Aire Sdn Bhd adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

Rajah menunjukkan kluster baharu dikesan, kelmarin.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa enam kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster tersebut selama 28 hari iaitu Kluster 3016, Kluster 3788, Kluster 4360, Kluster 5673, Kluster 5677 dan Kluster Little Audrey, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 166 kluster.

“Selain itu, terdapat satu kes import yang tiba di Negara Brunei Darussalam dari Rusia melalui Singapura dengan menaiki penerbangan Singapura SQ 148 pada 15 Oktober 2021,” tambahnya.

Dalam pada itu, terdapat 83 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Dato kemudiannya mengongsi bahawa sebanyak 240 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 9,608 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,424 kes.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan sekarang, enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, di mana kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 17 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah beliau.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,944 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 473,531 ujian.

“Melindungi diri dengan pengambilan vaksin adalah kaedah yang paling efektif dalam membendung penularan wabak COVID-19, di samping mengamalkan langkah-langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri, mengamalkan etika bersin dan batuk yang betul serta melakukan penjarakan sosial dengan teranah di rumah,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan di hujung kenyataannya.

“Marilah kita laksanakan peranan masing-masing serta berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Mudah-mudahan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan rahmat dan kesejahteraan serta terselamat dari kemudaratan wabak COVID-19,” tambahnya.