Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Meskipun dengan usaha yang dilakukan sejak awal gelombang kedua penularan COVID-19 tercetus di negara ini, masih ada pihak yang mengambil ringan dan ingkar terhadap apa yang ditegaskan dan saranan Kementerian Kesihatan dalam mengawal penularan.
Sejak akhir-akhir ini, beberapa kluster kediaman persendirian tumbuh bagaikan cendawan sehingga menimbulkan kebimbangan dan ini jelas masih ramai yang melakukan aktiviti kunjung-mengunjungi selain tidak teranah di rumah.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar melahirkan kekecewaannya itu apabila diminta mengulas mengenai kluster baharu melibatkan rumah persendirian di Kampung Sungai Bunga iaitu Kluster 7110 yang mengandungi 21 orang.
“Dengan jumlah yang banyak dan ia berlaku di rumah persendirian, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan,” jelasnya.
Menurut Yang Berhormat Dato lagi, mereka dipercayai berkumpul dan berjumpa sehingga tercetusnya kluster berkenaan.